Ahad, 27 Mei 2012

Perceraian – Runtuhnya Institusi Kekeluargaan


Perceraian – Runtuhnya Institusi Kekeluargaan
(Anonymous)

Hidup tidak ada makna kalau tiada teman dan sahabat. Ini adalah sebahagian dari tuntutan agama kita. Berteman bagi setiap orang pula mungkin punya definasi yang berbeza. Teman hidup yang selalu diperkatakan adalah ikatan suami isteri ataupun pernikahan. Sebagai umat Islam pastinya sedikit sebanyak tuntutan pernikahan dan perkahwinan serta adab sopan berumahtangga telah diajarkan kepada kita oleh kedua ibu bapa dan juga dari pengetahuan serta pencarian sendiri. Baik lelaki dan wanita adalah menjadi tanggungjawab masing-masing dalam memenuhi tuntutan ini kerana alam rumahtangga bukanlah satu cerekarama atau sandiwara semasa. Pernikahan dan perkahwinan telah tersedia hukum hakamnya oleh Allah. Namun yang menyedihkan di zaman ini terlalu ramai yang mempermainkan hukum hakam ini. Perkahwinan kini umpama membeli barangan di kedai. Bila suka dibeli dan tak suka dibuang ke tepi.
Saya akui tajuk ini bukanlah mudah untuk dikupas secara terperinci, memandangkan saya bukanlah perunding rumahtangga. Akan tetapi hati saya dicuit-cuit sebagai orang seni untuk terus membaca dan mencari artikel-artikel mengenainya. Semuanya bermula apabila heboh di akhbar tempatan tentang majlis pernikahan artis-artis terkenal tanah air dan juga pergolakan rumahtangga yang memenuhi ruang lingkup hiburan. Bukan tujuan saya nak menyibuk tetapi apabila telah disiarkan, sedikit sebanyak dibaca juga lalu timbul tanda tanya kenapa, mengapa dan bagaimana perkara ini boleh terjadi. Hakikatnya walaupun ia merupakan asam garam hidup dan dilalui oleh pasangan suami isteri, namun apabila ia melanda golongan terkenal seperti artis ia menjadikan satu hebahan berita yang mengundang jari-jari menambah rencah perisa di forum gosip. Jari-jari yang menulis pula bagaikan cendiakawan yang tahu segalanya tentang alam perkahwinan. Mereka sajalah yang bijak pandai dan tahu pula kisah luar dalam artis berkenaan.
Saya berani mengatakan bukan kehendak individu-individu bergelar artis ini untuk mempamerkan kisah hidup mereka, tapi apakan daya tag “dah awak tu artis” lalu menjadikan hak untuk wartawan menulis tanpa selindung lagi dan tanpa menyedari akibat dan natijah perbuatan mereka. Temuramah juga dibuat dan mesti dijawab oleh artis berkenaan. Namun, apa yang boleh saya katakan pasti timbulnya kemelut yang berlaku dalam kehidupan suami isteri insan-insan bergelar artis ini yang menjadi hiasan laman-laman internet serta ruangan hiburan akhbar tempatan. Sudah pasti pula apabila wartawan yang menulis akan ada penambah rasa mengeruhkan keadaan yang sedia tertekan. Laporan-laporan begini tentunya akan membuat pihak-pihak terbabit tambah tertekan dan meruncingkan hati. Sebagai pembaca pula memang mudah untuk kita membuat segala andaan atau rumusan berdasarkan apa yang tertulis. Apabila telah dimasukkan ke dalam blog gosip, sudah tentu ada kutukan-kutukan jua. Kepada pembaca yang faham tidak banyak yang boleh dikatakan selain bersabar dengan segala dugaan, namun kita yang digelar manusia ini adakalanya kalah dengan keadaan. Kekuatan selalunya hadir bersama sokongan keluarga, suami/isteri, kawan-kawan sejati dan yang paling utama adalah kekuatan iman dan diri sendiri ketika menghadapi masalah dan musibah.
Perceraian pula adalah jalan terakhir setelah segala usaha dilakukan untuk memulihkan rumahtangga dan hubungan suami isteri yang retak dan goyang. Walaupun begitu kemanakah perginya manis semasa bercinta? Kemana hilangnya kekuatan memikat si gadis dan si teruna? Apakah setelah bergelar suami isteri kuasa-kuasa ini disapu ke tepi hanya kerana hajat di hati telah diperolehi? Lalu salah sedikit naik tangan dan kaki, tidak seperti zaman bercinta…lautan api sanggup direnangi. Itu yang amat saya musykilkan. Kenapa tidak mahu merenangi lautan api setelah gadis menjadi isteri dan teruna menjadi suami. Setelah menghalalkan diri barukah nampak belang di dahi? Apakah dulu nampak tapi hati berkata cinta? Atau apakah dugaan kala bercinta tidak sehebat setelah berumahtangga? Barangkali mungkin setiap pasangan itu perlu bermuhasabah, merenungkan di sebalik apa yang berlaku kerana acapkali disebabkan keegoaan sendiri, maka hancurlah segala yang dibina selama ini.
Soalan-soalan ini akan berterusan dan menjadi paling sedih dan pedih apabila ada anak-anak hasil daripada hubungan suami isteri. Anak-anak pasti terhimpit di antara kemelut ibu bapa mereka. Anak-anak menjadi mangsa apabila orang tua tidak lagi seia sekata. Walaupun setelah berpisah, ibu bapa ini mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tetapi ianya tidak akan sama. Terlerainya ikatan ibu bapa bermakna runtuhlah mahligai buat anak-anak mereka. Anak-anak tersebut tidak lahir ke dunia tanpa ibu bapa mereka dan mereka berhak merasa kebahagiaan bersama ibu bapa sebagaimana ibu bapa melayari kebahagiaan sebelum kehadiran mereka.
Anak-anak bagaikan patung ‘barbie doll’ di kedai. Cantik dilihat namun tidak bercahaya. Cahaya mereka hilang apabila ibu dan bapa mengambil keputusan mencampak dan membuang mereka ke lembah tandus dan gersang. Macam mana sekalipun gelak dan tawa mereka selepas ini akan menjadi hambar kerana di satu saat ia hanya diperhatikan oleh ibu dan di satu saat lagi ia hanya diperhatikan oleh bapa. Anak-anak tidak dapat melihat wajah riang gembira kedua ibu bapa mereka dalam masa yang sama. Kesedihan pasti terpancar di wajah anak-anak ini apabila melihat rakan taulan mereka berlari, berkejaran, berebut dan bergaduh adik beradik diikuti oleh teguran ibu bapa mereka. Walaupun saya tidak mengalami sendiri keadaan ini, akan tetapi saya pernah menjadi pemerhati di tengah-tengah kemelut perceraian seorang saudara sepupu. Setelah hampir enam tahun berpisah, anak-anak masih lagi bertanya kenapa perpisahan yang terjadi di antara ibu bapa mereka. Anak-anak terpaksa belajar memahami, menerima hakikat bahawa kasih sayang ibu bapa mereka sudah terlerai namum mereka tetap mengatakan bahawa kasih sayang mereka terhadap anak-anak tidak berbelah bagi. Apakah ini adil buat mereka? Apakah ini caranya mengajar anak-anak erti kasih sayang? Takdir, sudah tiada jodoh, apa nak buat sudah tiada sefahaman dan sebagainya adalah alasan-alasan yang sudah pasti kedengaran, tetapi di manakah perjuangan dan di manakah pembelaan? Kenapa tidak dicari dan kembalikan semula persefahaman semasa berkenal dan bercinta?
Umat Islam adalah umat yang paling beruntung di dunia ini.  Setiap inci perjalanan hidup kita dibekalkan oleh garis panduan terperinci bagi menikmati kebahagian yang hakiki di muka bumi ini. Walau bagaimanapun arus kemodenan kehidupan telah membuat ramai di antara kita melupakan panduan Al Quran dalam membentuk keluarga dan rumahtangga bahagia. Seandainya kita menerapkan nilai-nilai ini lalu mengamalkannya dalam jiwa dan kehidupan kita, Insya’Allah institusi kekeluargaan akan berdiri kukuh dan utuh.
Amat menyedihkan apabila kes perceraian berlaku dan lebih menyedihkan pula apabila cerita mereka menghiasi laman-laman akhbar sebagai rencah berita. Akan tetapi lebih memilukan apabila ia dibuat bagai tarik tali. Hari ini kata nak bercerai, esok kata tak jadi pulak. Bulan depan nak cerai balik. Apa yang terjadi sebenarnya kepada masyarakat hari ini? Saya pasti ramai lagi di luar sana melalui perkara yang sama akan tetapi mereka bukan di kalangan orang dikenali lalu kisah-kisah mereka tidak kedengaran oleh kita semua.
Janganlah dipermainkan ikatan pernikahan dan perkahwinan kerana di sini jugalah bermulanya titik runtuh institusi kekeluargaan dan tempangnya budi bicara manusia. Jangan juga sesekali mempersendakan ajaran agama dan melupakan hukum hakam yang telah tersedia ada, kerana andainya kita mengabaikan apa yang ada, lambat laun perit dan derita kita juga yang melaluinya. Di saat dan ketika itu besar kemungkinan semuanya sudah terlambat.
Kepada ibu dan bapa fikirkanlah betapa beruntungnya diri dapat memperolehi nikmat di dunia bergelar ibu bapa. Didiklah anak-anak dengan penuh kasih sayang serta tanggungjawab kerana pengasuhan dan pendidikan merekalah yang sepatutnya dijadikan keutamaan. Ingatlah jua anak-anak adalah amanah Allah kepada kita, jangan biarkan mereka hidup terkapar-kapar di dalam dunia yang mencabar ini. Kitalah yang mencorakkan keperibadian mereka. Tunjukkanlah contoh teladan yang baik kepada mereka. Jagalah amanah Allah dan bersyukur dengan nikmat yang diberi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan